Tuesday, 16 October 2012

SURVIVAL BAHASA IBUNDA OLEH GENERASI MUDA


ANDA kaum apa? Itu soalan lazim yang ditujukan kepada Nursyahirah Mohd. Aziz yang baru berusia 13 tahun memandangkan wajahnya yang tidak tumpah seperti gadis Asia Barat.
 
Memiliki mata besar dan hidung yang mancung, gadis yang menuntut di Sekolah Menengah Seksyen 7, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu rupa-rupanya berketurunan Pakistan.
 
Namun, peliknya walaupun ibu bapa Nursyahirah sememangnya berketurunan Pakistan, namun dia tidak fasih bertutur dalam bahasa ibunda mereka Punjabi atau Urdu.
 
Akui Nursyahirah, sewaktu zaman kanak-kanak dahulu penguasaan bahasa Punjabinya lebih teruk. Dia hanya faham sedikit apa yang dituturkan oleh ahli keluarganya dan langsung tidak dapat membalas bicara dalam bahasa tersebut.
 
"Bayangkan, apa yang disebut lain bunyi dan maknanya pun berbeza. Apabila itu berlaku, saya berasa malu untuk meneruskan perbualan," kata gadis itu yang akhirnya lebih senang berbahasa Melayu dengan ahli keluarga di rumah.
 
Keselesaan berbahasa Melayu dan Inggeris di sekolah mungkin telah mengehadkan kemampuan Nursyahirah menguasai bahasa Punjabi.
 
 
Pakistan celup
 
 
Sewaktu berusia 8 tahun ketika di sekolah, rakan-rakan mula melabelkannya sebagai Pakistan celup.
"Ramai kawan di sekolah yang gemar menonton filem Bollywood sehingga meminta saya menterjemahkan pelbagai jenis ayat dari bahasa Melayu ke bahasa Punjabi kepada mereka.
 
Pada kebanyakan masa, memang saya terpaksa menghampakan permintaan tersebut kerana memang saya tidak tahu banyak perkataan Punjabi. Akhirnya, label Pakistan Celup memang sangat menghantui saya," tuturnya sambil mengakui gelaran tersebut ternyata memberi kesan mendalam pada dirinya, sehingga sejak itu dia nekad untuk mula menguasai bahasa Punjabi
 
Sejak itu juga, gadis berkulit cerah itu mula menonton filem-filem Bollywood dan menjadi pencinta filem berkenaan, walaupun sebelum itu dia amat jarang menonton filem berkenaan.
 
Selain itu, dia juga akan melayari laman web yang mempunyai rangkaian panduan bahasa Punjabi kerana kaedah itu banyak membantunya menguasai dengan kebih cepat bahasa tersebut.
 
 
 
 
 
Pada masa yang sama, dia juga akan bertanya kepada ibunya mengenai perkataan-perkataan yang sukar difahami.
 
"Saya melihat langkah-langkah itu memudahkan saya untuk belajar bahasa ibunda saya, malah membuatkan saya semakin berminat dengan bahasa tersebut. Jika dahulu saya kosong, kini semakin bertambah baik," ujarnya.
 
Kemerosotan bahasa ibunda menurut bidang linguistik adalah kegagalan penutur aslinya untuk menguasai bahasa tersebut. Ia biasanya berlaku disebabkan oleh jumlah penuturnya yang makin berkurang atau perkembangan bahasa lain yang menghakis kepentingan bahasa ibunda itu.
 
Biarpun Persatuan Linguistik Amerika Syarikat menyatakan terdapat antara 6,800 hingga 6,900 jenis bahasa di dunia ini, namun globalisasi hari ini menyebabkan hanya beberapa bahasa menjadi keutamaan. Ternyata, globalisasi yang dipacu oleh kemajuan internet begitu dekat dengan generasi muda.
 
Lantaran itulah, kemerosotan penguasaan bahasa ibunda dalam kalangan generasi muda agak ketara.
 
 
Baca lagi di KOSMO

2 comments:

  1. wahai genarasiku ,marilah bersama kita memperkasa bahasa kita kerana bahasa kita menunukkan imej kita...!

    ReplyDelete
    Replies
    1. belajarlah bahasa ibunda kita sedalamnya kerana makin banyak yang kita belajar makin bertambahlah penguasaan bahasa kita...

      Delete